Anwar, Mahathir ikrar selamatkan rakyat


Sejarah tercipta apabila Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk bersatu hati menentang Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang jelas mengugat demokrasi negara.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berjanji membawa perubahan serta reformasi menyelamatkan hak dan kebebasan rakyat, sekaligus memajukan semula negara.

“Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak telah mengancam sistem demokrasi dalam negara kita.

“Kita perhatikan hampir semua institusi-institusi utama negara seperti polis, SPRM, Peguam Negara dan Bank Negara telahpun dikuasai sepenuhnya oleh beliau,” katanya mereka dalam kenyataan bersama.

Menurut mereka, akta MKN juga menidakkan hak sesiapa yang terbunuh, sama ada pegawai atau orang awam daripada diperiksa untuk menentukan punca berlaku.

Tegas mereka, akta itu juga mengenepikan langsung kuasa dan peranan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu penting demi keselamatan serta kebebasan rakyat.

“Oleh kerana krisis negara inilah kami bersama dengan rakyat menentang akta ini,” ujar mereka.

Pada 5 September lalu, Mahathir tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta MKN.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, bertegas bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Akta MKN yang berkuatkuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada Najib menetapkan sesuatu kawasan sebagai ‘kawasan keselamatan’ di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Anwar, Mahathir ikrar selamatkan rakyat Anwar, Mahathir ikrar selamatkan rakyat Reviewed by suarakami on 10:39 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

suarakami. Dikuasakan oleh Blogger.